RESET MINDA

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 32

Saya si bongsu antara tiga beradik perempuan dalam keluarga. Dan saya yang paling nakal. Buktinya, saya ada kawan-kawan yang semuanya 'happening' dan pelik. Saya ada kawan yang 'kena buang sekolah', saya rapat dengan kawan yang memang 'skema' kemain kat sekolah. Saya ada pula kawan yang ajak saya ponteng sekolah. Saya ada kawan yang takut-takut nak buat hal kat sekolah. Dan saya berkawan baik dengan kawan yang datang sekolah pukul 11! Itulah saya dan kehidupan.

Tapi saya ada kakak-kakak yang sangat sopan. Bezanya langit dengan bumi dengan saya seorang. Kakak saya berdua adalah orang yang paling santun yang pernah saya kenal seumur hidup saya. Mereka orang yang mendengar kata dan mebikut haluan yang baik-baik sahaja dalam hidup mereka. Dan sekarang mereka sudah menjadi ustazah. Alhamdulillah. Saya pula? Jadi cikgu tuisyen yang nakal. 

Sebenarnya, kadang-kadang hidup saya dibayangi kakak-kakak saya yang hebat. Ramai orang kenal mereka sebab mereka baik tapi ramai orang tak tahu kewujudan saya sebab saya terlalu tersembunyi. Sekarang bila masing-masing sudah besar, saya yang 'kecil' masih tetap dibayangi bayangan kejayaan kakak-kakak saya.

Apa saya nak cerita di sini ialah, itulah hidup. Ibubapa yang mencorak kehidupan anak-anak. Ada anak yang berjaya dalam pelajaran tapi ada anak lain berjaya dalam hidup bukan melalui sekeping ijazah. Ibu bapa cuma perlu menghargai keistimewaan anak masing-masing. Sesungguhnya kejayaan itu bukan hanya melalui sekeping ijazah, tapi mungkin jua hadir dari sudut kehebatan akhlak si anak yang disegani masyarakat dek akhlak yang baik. Bukankah sejuk perut si ibu yang mengandung?

Hari ini, kita sering memperlekeh mereka yang belajar agama. Dari sudut pemikiran songsang kita, orang yang mempelajari agama takkan pernah maju dan berada di tahap pemikiran kuno. Tapi kita tak sedar masyarakat kita semakin parah dek kerana menjauh dengan agama.

Saya dulu pernah belajar di sekolah agama penuh bermula dari Tingkatan Peralihan. (Saya belajar di Tingkatan 1 selama dua tahun-sekolah agama arab). Dan bila sampai di tahap SPM, saya mula goyah melihatkan rakan-rakan lain sudah ke matrikulasi. Saya batalkan niat untuk menyambung dalam bidang pengajian agama bila mendapat tawaran ke Kolej Matrikulasi. Dan sekarang saya rasa saya mahu mengulang pengajian agama dan memperoleh sijil agama tersebut semula. *Kalaulah ada peluang saya belajar.

Berbeza dengan kakak saya berdua, mereka lulusan pengajian islam. Nah , sekarang di mana mereka berbanding saya? Kadang-kadang terasa kerdil bila dibandingkan dengan mereka. Terutamanya bila berhadapan dengan masyarakat, mereka sering mengulang tanya ''yang ini ustazah di sekolah mana ya?'' Ya Allah, dulu jiwa saya bagaikan terbakar. Saya rasa saya hidup di sebalik bayangan kakak. Dan saya yakin, sahabat juga pernah ada rasa seperti saya. Mungkin hampir sama cerita kita. 
Yakinlah, rezeki Allah tetapkan untuk kita dalam pelbagai bentuk. Mungkin kita tiada wang berjuta tapi kita ada nikmat merasa apa yang kita nakkan dalam hidup. Saya cuma mahu terus bersama ibu ayah saya selagi saya tiada tanggungjawab 'mega' untuk saya pikul. Maka, di sinilah saya, menjadi seorang tutor di sebuah desa. Semoga legasi saya untuk mengajar anak jati kampung saya menemui titik kejayaan, Insya'Allah.

Comments

Popular posts from this blog

TIPS MELETAKKAN HARGA

IDEA BUKA PUSAT TUISYEN

TIPS HEBAT MENJADI TUTOR HEBAT