ISU PELAJAR 1 : KELIRU.

TEKS : Faizah Yusoff
#Entri 58

?
?
?
Semasa menuntut di sekolah menengah, saya memang pernah belajar di pusat tuisyen yang lebih 5km dari rumah. Pada masa tu, sekitar tahun 2007, memang tak banyak pusat tuisyen berbanding dengan hari ini. Bila diingat balik, macam terasa rajin juga rupanya saya dahulu ya. Hehe. Sekarang, tak sampai 15 minit perjalanan mesti akan nampak papan tanda pusat tuisyen. Tapi kenapa hometuition juga yang jadi pilihan walaupun tak semua yang kenal istilah 'hometutor' ini?

Sebab paling utama ialah bila kelas penuh memang cikgu tak dapat beri tumpuan kepada setiap pelajar. Dan yang agak 'lambat' akan ditinggalkan terkial-kial. Terutamanya bila awak memang jenis pelajar 'tiada mulut'. Istilah 'tiada mulut' di sini bermaksud tak suka menonjol dan tak banyak bertanya di dalam kelas tak kisah lah tanya pada guru atau pada rakan.
Sebab kecilnya, memang cara penyampaian yang cikgu gunakan tidak berkesan pada pelajar tersebut. Mungkin terlalu laju atau memang dah tak berapa laju tapi suka 'skip-skip' penerangan.

Pengalaman saya, kebanyakan pelajar yang menghubungi 'hometutor' ini bukanlah terdiri daripada pelajar tercorot dalam kelas, bahkan ada dalam kalangan mereka yang memang aktif dan gemar bertanya di dalam kelas sama ada pada guru atau rakan sebaya. Tapi cara penerangan cikgu atau rakan mereka tidak dapat memahamkan mereka dengan sebaiknya. Akhirnya mereka main buat saja itu teknik tanpa faham pun apa yang mereka buat. Dan bila dapat soalan KBAT, memang terus angkat 'bendera putih'.

Seperti yang sering dihadapi pelajar hari ini, saya dahulu juga mempunyai isu yang sama, otak terasa berkecamuk. Apa yang diterangkan oleh guru semacam angin lalu saja tidak langsung menyinggah di minda. Dan cikgu saya akan terus mengajar kerana kebanyakan pelajar lain sudah mula menghadam apa yang diajar dan saya terus menerus tidak faham dan terasa ketinggalan. Tanpa disedari, semakin hari topik tersebut terus saya tinggalkan sampailah dekat dengan peperiksaan dan pada masa ini memang hati sudah remuk redam.

Solusi pada masalah ini ialah : MESTI BERTANYA!

Dahulu, saya cukup benci pada orang yang suka bertanya. Saya rasa mereka merasakan mereka lebih tahu daripada orang lain dan seakan-akan mahu menunjuk kefahaman mereka yang agak 'lebih sedikit'. Bertapa mundurnya minda saya waktu itu. Sebenarnya, bertanya adalah satu latihan kefahaman yang baik. Satu proses terbaik untuk menambahkan pemahaman orang yang bertanya dan orang yang berada disekelilingnya.

Saya yakin, ada hometutor yang akan berdepan dengan pelajar yang 'tiada mulut' ini. Bila satu ditanya, satu dijawab. Nampak semasa kita ajar, seakan faham tapi bila peperiksaan, keputusan makin rendah berbanding sebelum buat 'hometuisyen'. Dan ibu ayah sudah mula menghantar keputusan anak mereka dan bertanya solusi pada kita. Nah, beritahu pelajar anda, SILA TANYA SEKIRANYA TIDAK FAHAM. Jangan simpan sampai masuk tajuk baharu. Akhirnya, diri sendiri merana.

"Tapi cikgu, saya tak berani..."

Baiklah, pertama sekali, mulakan latihan bertanya ini sesama rakan sebaya.
Kemudian, anda mesti akan mempunyai keberanian berjumpa dan bertanya guru secara perseorangan untuk bertanya. Atau boleh diajak rakan.
Akhirnya, bila sudah biasa, anda akan merasakan bertanya di dalam kelas itu adalah satu perkara yang biasa. Insya'allah.

Secara ringkasnya, bertanya adalah amat penting dan memberi kesan yang besar. Banyak beban atau ketidakfahaman kita yang dapat diselesaikan pada masa itu juga. Jadi tiada beban lagi untuk kita momokkan di dalam minda.
Paksa diri untuk menjadi berani. Selamat mencuba.

*Ada satu perkongsian lucu, kalau awak takut untuk bertanya di dalam kelas kerana sikap gugup yang melampau, fikirkan seminit, guru di depan awak sedang memakai baju badut atau wajah bengis cikgu tersebut kita bayangkan sedang membuat lawak. Nah, awak pasti tidak takut lagi*




Comments

Popular posts from this blog

TIPS MELETAKKAN HARGA

IDEA BUKA PUSAT TUISYEN

TIPS HEBAT MENJADI TUTOR HEBAT