MAAHAD DI HATI...

TEKS : Faizah Yusoff
FOTO : Carian Google
#Entri 65

Cuti sekolah sudah berakhir di Kelantan. Hari ini saya menemani anak saudara yang pertama kali ke pasti. Pasti Al-Hidayah. Juga tempat saya mula-mula mengenal huruf dan belajar berdoa. Rindu betul zaman itu. Nak makan baca doa, siap makan baca doa, nak balik cikgu akan bekalkan satu doa setiap seorang, kena ingat dan tiap-tiap hari cikgu akan panggil secara rawak siapa yang dah ingat doa, boleh ke depan dan baca kuat-kuat. Alangkah bangganya hati bila kita seorang saja yang ingat, rakan-rakan lain masih termanggu-manggu sebab asyik lupa hafal. Semuanya tersimpan kemas dalam lipatan sejarah hidup saya. 

Hari ini saya sudah mula siapkan tugasan untuk kelas Tuisyen Asas Matematik saya. Penat memang agak penat buat soalan, nak bagi pelajar faham dengan konsep dan tajuk apa yang memang kerap kali pelajar buat kesalahan. Nanti bila dah siapkan modul tersebut saya tunjukkan kat sini Insya'Allah. Teristimewa buat anak pelajar saya saja setakat ini. Saya memang teruskan niat untuk membuka kelas harian di rumah saya saja sekarang ini. Alhamdulillah, pelajar tak putus-putus datang. Cuma sedikit isu bila setiap pelajar mahukan kelas perseorangan. Insya'Allah saya akan cuba ikhtiarkan sedaya upaya saya.


Saya sebenarnya ingin menyambung cerita menjadi sebahagian daripada pelajar Maahad, sambungan kisah keputusan peperiksaan sebelum ini. Sekadar perkongsian dan luahan kerinduan teramat untuk kembali ke zaman itu. Dulu pada zaman saya kami terpaksa rela menduduki peperiksaan di setiap tingkatan. 

Sebelum melangkah ke Tingkatan 1, kami diwajibkan untuk berada di Tingkatan Peralihan. Peperiksaan besar semasa peralihan ialah UKSA. saya pun dah lupa UKSA tu apa nama penuhnya. Peperiksaan ni kami duduki untuk melayakkan lompat ke Tingkatan 1 tanpa perlu habiskan Tingkatan Peralihan selama setahun.

Seterusnya, Tingkatan 1 memang tiada peperiksaan besar, cuma ada peperiksaan akhir tahun saja. Semasa di Tingkatan 2, ada PMRU iaitu Peperiksaan Menengah Rendah Ugama. Seterusnya Tingkatan 3 PMR macam sekolah menengah biasa. Tingkatan 4 pula, SMU ataupun Sijil Menengah Ugama. Sijil Menengah Ugama ini boleh menggantikan sijil kursus kahwin di Kelantan. Sebab tu lah dulu kami suka buat lawak-lawak tak cerdik bersama kawan-kawan lepas keluar keputusan SMU, bolehlah kahwin ramai-ramai.
Tingkatan 5 pula macam biasa SPM cuma lebih sedikit la matapelajaran. Tingkatan 6 Bawah, ada peperiksaan STAM manakala Tingkatan 6 Atas pula STPM. 

Memang agak banyak peluang lah kiranya sebab peperiksaan memang tiap-tiap tahun. Sepanjang tahun memang pegang nota je kerja kami. Di sini kami dididik dengan bawa buku ke mana sahaja. Bahkan kadang-kadang ke tandas pun kami TERbawa nota kecil. Sungguh melekat budaya 'bawa buku' di sekolah dulu.

Bila datang musim peperiksaan atau ujian bulanan, kami akan bertebaran duduk di bawah pokok, di padang, di pondok bahkan di dalam longkang pun jadi 'port' menghafal. Sungguh meriah. Bising macam lebah sebab semua pakat hafal benda yang sama. Kalau ada yang jenis rileks pun pasti tergugat punya sebab semua kawan-kawan bawa buku dan menghafal. Tapi di sini kami bersaing secara sihat. Sungguh saya rindukan suasana Maahad yang tenang. Walau di tengah bandar utama, tapi suasana di Maahad bagaikan berada di tengah sawah yang tenang dan lapang. 

Bila datang musim peperiksaan kami akan sama-sama mengadakan solat hajat perdana. Pada setiap hari Rabu, corong radio maahad akan berkumandang bacaan Yaasin. Tiada lagu negaraku yang kami dendangkan setiap hari. Cuma nasyidussobah sebagai doa yang ditambah rentak. Sungguh saya rindu. Bukan mahu menunjuk atau berbangga diri jauh sekali, saya cuma ingin lakarkan secebis ingatan saya tentang sebuah Maahad yang mengajar saya ilmu duniawi dan ukhrawi malah semakin saya belajar sampai ke usia ini, semakin banyak yang saya tak tahu. Luasnya ilmu-Mu ya Allah. 

Kenapa saya ceritakan di sini? Kadang-kadang terasa sedih melihatkan akhlak remaja masa kini. Lalu, akhbar yang memang suka mencari cerita panas akan mula besar-besarkan isu 'Pelajar Sekola Agama ditangkap' atau apa-apa saja yang boleh menjatuhkan imej 'Sekolah Agama'. Sedangkan ditulis oleh penulis yang beragama Islam. Kalau sebegini yang kami belajar di sekolah, adakah salah sekolah juga jika kami tidak terus mengamalkan apa yang kami belajar? Sudah tentu salah sendiri.

Saya sama sekali bukanlah orang yang meneruskan imej tudung labuh di sekolah sampai sekarang tapi sekurang-kurangnya saya masih cuba menjaga apa yang sepatutnya. Alhamdulillah. Mungkin entri ini boleh memberi bayangan apa yang boleh kita kongsikan bersama pelajar masing-masing. Kadang-kadang, cubalah kongsi cerita zaman sekolah sahabat semua supaya boleh dijadikan panduan untuk anak pelajar kita yang memang sering dahagakan motivasi. Insya'Allah walau sekali sahaja bertemu seminggu, mungkin sesi pelajaran bersama anda menjadi satu sesi yang ditunggu-tunggu oleh pelajar! Gudluck!

Comments

Popular posts from this blog

TIPS MELETAKKAN HARGA

IDEA BUKA PUSAT TUISYEN

TIPS HEBAT MENJADI TUTOR HEBAT